Pergerakan dari Semenanjung ke Sabah serta Sarawak, dan sebaliknya, adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dikuatkuasakan, menurut Kementerian Luar Negeri.

Dalam satu kenyataan menjawab soalan lazim (FAQ) mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, kementerian itu memaklumkan sebarang pergerakan dalam Semenanjung, boleh dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri.

“Penerbangan dari (atau) ke Semenanjung Malaysia ke/dari Sabah dan Sarawak adalah tidak dibenarkan, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dikuatkuasakan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menekankan sebarang perubahan atau keputusan oleh Kerajaan Malaysia, berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, iaitu merujuk kepada soalan sama ada kerajaan merancang untuk memendek atau melanjutkan tempoh perintah itu sepanjang tarikh 18 hingga 31 Mac ini.

Sementara itu, kementerian itu juga menyatakan tiada warganegara asing yang dibenarkan memasuki Malaysia, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kecuali bagi warganegara asing berstatus diplomat, yang berkhidmat di negara ini berserta tanggungan mereka.

“Diplomat asing dan tanggungan mereka adalah dibenarkan untuk memasuki dan meninggalkan Malaysia semasa perintah ini berkuat kuasa, dan disyaratkan untuk membuat kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

“Bagi pegawai kerajaan asing yang bukan berstatus diplomat (yang menetap di Malaysia) juga adalah dibenarkan memasuki atau meninggalkan Malaysia, dengan syarat dokumen penggajian dapat dibuktikan semasa kemasukan ke Malaysia,” jelasnya.

Selain itu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura juga tidak dibenarkan berulang alik.

Warganegara dan penduduk tetap Malaysia yang mempunyai permit kerja sah di Singapura, dibenarkan keluar ke negara itu untuk bekerja, dengan syarat mempunyai surat panggilan kerja daripada majikan, serta persetujuan bertulis bahawa kemudahan penginapan disediakan oleh majikan di sana, sehingga 31 Mac ini, menurut kenyataan itu.

Sumber – Bernama