PENGALAMAN (dijangkiti Covid-19) kali ini membuktikan hospital kerajaan mampu memberikan perkhidmatan berkualiti dan bertaraf tinggi, rakyat Malaysia patut berbangga dengan pencapaian ini.” Demikian luahan pesakit ke-13 positif Covid-19 di Malaysia yang pulih sepenuhnya dan discaj dari wad isolasi Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah semalam.

Wanita berusia 40-an itu berkata, dia berasa gembira sebaik disahkan doktor pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu selepas positif Covid-19, 5 Februari lalu.

“Saya sangat gembira, akhirnya dapat bertemu dengan ahli keluarga dan kembali ke persekitaran luar selepas ditahan di wad isolasi melebihi dua minggu.

“Sebaik disahkan positif Covid-19, saya tidak dapat menerima berita berkenaan kerana saya tidak pernah menjangka wabak Covid-19 akan membabitkan keluarga dan saya sendiri. Saya bimbang ahli keluarga yang lain terutama anak saya, nasib baik semua orang sihat sekarang,” katanya dalam temubual disiarkan di Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, dia mengucapkan terima kasih kepada kakitangan perubatan kerana memberi layanan terbaik sepanjang dirawat di hospital itu.

“Sebelum kejadian ini, saya tidak pernah memasuki wad hospital kerajaan dan pernah menganggap (perkhidmatan) kurang tepat (bagus) terhadap hospital kerajaan. Bagaimanapun, pengalaman ini membuktikan hospital kerajaan mampu memberikan perkhidmatan berkualiti dan bertaraf tinggi,” katanya.

Dia juga menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan membantu satu sama lain dalam menghadapi wabak itu.

“Jangan risau untuk mendapatkan pertolongan ataupun bantuan perubatan jika anda mempunyai gejala jangkitan. Elakkan keluar ke tempat ramai orang dan rajin cuci tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat hari ini KKM mengesahkan sebanyak 22 kes positif Covid-19 di Malaysia dan daripada jumlah itu 20 kes membabitkan sejarah perjalanan dari atau tinggal di luar negara khususnya dari China manakala baki dua kes lagi dalam kalangan ahli keluarga kepada salah satu kes yang juga warga Malaysia.

“Seorang pesakit ke-13 pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah pada 22 Februari (semalam) selepas disahkan positif Covid-19 pada 5 Februari lalu.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang pulih sepenuhnya dan discaj sehingga hari ini adalah 18 kes dengan empat masih dirawat di wad dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Noor Hisham berkata, mengambil kira dapatan itu, KKM bertindak proaktif dengan memperkukuhkan pengesanan Covid-19 bagi mengesan kes dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Sistem ‘survelan’ ini menggunapakai konsep yang sedia dilaksanakan bagi Sistem Survelan Influenza iaitu melalui pengesanan kes “severe acute respiratory infection (SARI)” dan pengesanan kes “influenza-like illness (ILI)” yang memenuhi kriteria masing-masing di peringkat hospital serta Klinik Kesihatan yang dikenalpasti,” katanya.

Sumber : Hmetro