SERIAN: Pengalaman sebanyak tiga kali menyaksikan fenomena Gerhana Matahari dengan matanya sendiri sebelum ini, sudah cukup untuk menginsafkan Pegawai Bahagian Falak Syarie Jabatan Mufti Sarawak, Ustaz Mohamad Mokarat terhadap kebesaran Illahi.

Mohamad, 57, berkata perasaannya sungguh syahdu sewaktu melihat gerhana matahari di mana kita dapat melihat kebesaran dan kekuasaan Allah yang Maha Esa. “Pengalaman pertama saya melihat sendiri gerhana matahari ialah sewaktu di Kudat, Sabah pada tahun 1995.

Masih terbayang dalam ingatan betapa indahnya pemandangan yang amat jarang dilihat serta timbul rasa keinsafan dalam diri. “Kali kedua saya berpeluang untuk melihat sendiri ialah pada 1998 di Bintulu. Ketika itu berlakunya fenomena Gerhana Matahari Penuh,” katanya kepada Bernama ketika ditemui lokasi pencerapan Gerhana Matahari Anulus (cincin) di Dataran Piazza di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohamad yang telah lebih 21 tahun berkhidmat di Jabatan Mufti itu berkata pengalaman kali ketiganya menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Penuh agak istimewa kerana ia berlaku di Palembang, Indonesia.

“Sewaktu kejadian itu, keadaan alam tiba-tiba gelap dan sungguh sunyi untuk beberapa minit dan hanya kedengaran kicauan burung. “Ketika itulah kita dapat rasa bahawa Allah SWT ingin menunjukkan kebesaran-Nya kepada manusia agar sentiasa mengingati kepada yang Maha Pencipta,” katanya.

Sementara itu, fenomena Gerhana Matahari Anulus (cincin) akan dapat disaksikan pada petang ini di Serian, kira-kira 60 kilometer dari Bandar Raya Kuching. Gerhana tersebut berlaku apabila bulan bergerak tepat di hadapan matahari tetapi disebabkan pada ketika itu, bulan berada agak jauh daripada bumi, maka saiznya sedikit kecil dan tidak akan dapat menutupi keseluruhan bentuk piring matahari.

Selain Serian, Tanjung Piai di Johor turut bakal mengalami fenomena Gerhana Matahari Anulus pada petang ini. Kali terakhir Gerhana Matahari Cincin ini pernah terjadi di negara kita adalah 21 tahun yang lalu iaitu pada 22 Ogos 1998 di Mersing, Johor.

Tak lepas peluang saksi gerhana matahari separa

LEBIH 1,000 pengunjung tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena istimewa, gerhana matahari separa di Planetarium Negara, Kuala Lumpur, hari ini. Kebanyakan mereka hadir seawal 10 pagi untuk menunggu waktu gerhana matahari separa disaksikan di ibu negara bermula 11.20 pagi.

Kakitangan kerajaan, Nurul Azlina Omar, 39, turut tidak ketinggalan membawa anak sulungnya, Nurul Kayishah Mohd Khaidir, 5, untuk menyaksikan sendiri fenomena berkenaan. “Memang cuaca panas terik tetapi Nurul Kayishah tidak merengek dan dia kelihatan begitu bersemangat menunggu giliran untuk melihat gerhana itu menggunakan teleskop yang disediakan pihak Planeterium Negara.

“Mujurlah kami datang awal kerana barisan menunggu masih tidak terlalu panjang. Semoga dengan pendedahan sebegini, Nurul Kayishah akan lebih meminati bidang Sains apabila dia mula bersekolah kelak,” katanya. Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil juga tidak ketinggalan menyaksikan gerhana itu bersama pengunjung.

Ketika ditemui media, Fahmi berkata, fenomena itu adalah antara masa terbaik untuk mendedahkan golongan muda dengan bidang sains dan teknologi.“Hari ini istimewa kerana tidak semua negara di dunia yang dapat menyaksikan gerhana matahari anulus dan gerhana matahari separa.

“Saya gembira kerana ramai ibu bapa yang sanggup meluangkan masa membawa anak-anak ke Planetarium Negara bagi menyaksikan fenomena istimewa itu. “Semoga selepas ini golongan muda akan lebih meminati sains dan teknologi,” katanya.

Gerhana matahari bukan petanda malang – JAKIM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi peringatan kepada umat Islam, kejadian gerhana matahari tiada kaitan dengan kejadian malang atau celaka sesuatu perkara. Sebaliknya, ia adalah satu keadaan yang berlaku sejak dahulu lagi, termasuk ketika zaman Rasulullah SAW.

Jelas JAKIM, ketika itu, secara kebetulan, putera baginda iaitu Ibrahim dan ramai yang menyangka bahawa gerhana itu membawa maksud kesedihan hati Rasulullah. “Oleh kerana itu, Rasulullah SAW bersabda (hadis riwayat Imam Muslim), Mafhumnya: Rasulullah SAW bersabda bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda-tanda kekuasaan Allah.

“Allah menakutkan hamba-hambaNya dengan perubahan matahari dan bulan, dan matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan pergi seseorang dari kalangan manusia, maka apabila kamu melihat berlakunya suasana (gerhana), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan kelihatan semula bagi kamu,” katanya.

Peringatan itu dikeluarkan melalui khutbah khas gerhana matahari bertajuk Menggali Rahsia Keagungan Allah, selepas zolat Zohor, hari ini. Jelasnya, kejadian gerhana matahari berlaku akibat dari kedudukan sejajar antara matahari, bulan dan bumi, manakala gerhana bulan berlaku apabila kedudukan sejajar antara matahari, bumi dan bulan.

“Kedudukan sebegini akan menghalang cahaya matahari daripada sampai ke bumi dan kerana itu, ia dinamakan gerhana. Kita sedia maklum bulan dan bumi sifatnya adalah menerima cahaya daripada matahari. “Peristiwa gerhana matahari ini adalah suatu iktibar kepada umat manusia bahawa kita adalah makhluk kecil dan lemah di sisi Allah SWT.

“Allah memperlihatkan sedikit daripada bukti kekuasanNya kepada manusia melalui peristiwa gerhana matahari yang juga antara satu fenomena alam yang hebat dan ajaib, bukti kekuasaan Allah yang tiada bandingnya,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya Firman Allah dalam surah Yunus ayat 5, membawa maksud, “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.

Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar; Allah menjelaskan ayat- ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui hikmah sesuatu yang dijadikanNya).

“Apa yang jelas, penciptaan matahari, bulan, cakerawala dan apa jua di alam ini bertujuan membolehkan seluruh manusia mengambil manfaat daripadanya seperti menjana sistem solar, menjana dan menghasilkan kuasa elektrik.

“Bagi umat Islam, peristiwa seumpama ini sebenarnya memperteguhkan dan memantapkan lagi keimanan sekiranya dihayati. “Janganlah sekali-kali kita lupa untuk bertahmid memuji Allah, bertasbih, bertakbir dan bertahlil sebagai tanda kesyukuran atas pengurniaan segala nikmat serta limpahan rahmatNya,” katanya. – Apam Pink