KEJAM dan keterlaluan. Begitu gambaran perbuatan individu tidak dikenali yang mencederakan kedua-dua belah mata seekor kucing hingga buta di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Kisah itu dikongsikan seorang pemuda, Faez Feilzha Roslee, 23 menerusi video yang dimuat naik di Twitter miliknya, pada 14 Disember lalu.

Menerusi video berdurasi 44 saat itu, Faez dilihat menghampiri sebelum menenangkan seekor kucing yang mengiau dengan keadaan mata berlumuran darah.

Ciapan itu mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya marah dengan tindakan pelaku selain meluahkan rasa simpati dan sedih melihat kucing berkenaan menjadi mangsa kekejaman individu tiada peri kemanusiaan.

Bercerita lanjut, Faez berkata, video itu dirakam adiknya, Ameeyrul Afeeq, 20, apabila terserempak dengan kucing malang berkenaan ketika singgah di sebuah kedai kira-kira 11 pagi pada 14 Disember lalu.

Menurutnya, pada hari berkenaan, dia bersama adik dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk melawat ibu yang mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU ).

Katanya, ketika dalam perjalanan, mereka singgah di sebuah kedai tidak jauh daripada hospital untuk membeli barang dan selepas keluar daripada kereta, dia terlihat seekor kucing dengan keadaan mata berdarah.

“Mata kucing itu dikorek di bahagian kanan manakala sebelah kiri seperti dicucuk dengan objek tajam hingga buta, ikutkan saya mahu membawanya (kucing) bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan, namun klinik tidak dibuka pada hari itu.

“Tanpa berlengah, saya masukkan kucing itu ke dalam kotak sebelum pergi ke sebuah pusat perlindungan haiwan untuk mendapatkan bantuan.

Saya yakin kejadian itu baru berlaku pada waktu itu kerana mata kucing berkenaan masih berdarah dan terdapat juga kesan tompokan (darah) di lantai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Faez berkata, niatnya memuat naik video berkenaan di Twitter sekadar untuk berkongsi pengalamannya berdepan dengan situasi menyedihkan itu.

Tanpa diduga, perkongsiannya itu tular tetapi berharap video itu membuka mata ramai pihak mengenai kekejaman haiwan yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

“Sebenarnya, saya pernah terserempak dengan kucing yang menjadi mangsa penganiayaan tetapi tidak seteruk apa disaksikan tempoh hari.

Geram rasanya kerana saya juga memelihara kucing dan tidak dapat bayangkan seandainya haiwan peliharaan saya diperlakukan sebegitu.

“Bagi saya, bukan begitu caranya kerana kucing tidak bersalah jadi tiada alasan untuk menyakitinya dan itu mesej yang cuba disampaikan menerusi video berkenaan,” katanya yang kini menjalani latihan industri di jabatan Kumpulan Komunikasi Konsumer di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya.

Sumber penulisan : harian metro