ROME : Juventus hari ini memuji Cristiano Ronaldo selepas lompatannya yang menakjubkan untuk menjaringkan gol kemenangan ke atas Sampdoria melonjak juara Itali itu ke puncak Serie A.

Ronaldo, 34, mengabaikan faktor usia dan graviti apabila dia melompat tinggi untuk menanduk masuk hantaran Alex Sandro yang dianggap kelab bukan tandukan biasa.

“Ketika dia melompat ke udara, di mana dia kelihatan seperti terapung seketika, Ronaldo mencapai ketinggian 2.56 meter ketika kepalanya mengenai bola,” kata Juventus.

Dia melompat 71 sentimeter dari atas tanah untuk gol tandukan ke-11 dirinya sejak menyertai Juventus.”

Gol menakjubkan sebelum rehat itu meletakkan Juve pada 42 mata, tiga mengatasi Inter yang akan bertemu pasukan bergelut Genoa esok.

Sebelum ini Ronaldo mencatat ketinggian 2.93 meter ketika menjaringkan gol menentang Manchester United pada tahun 2013 dan 2.61 meter bertemu Wales pada tahun 2016.

Sumber : Berita Harian