Anda sudah cuba pelbagai kaedah untuk turunkan berat badan, namun masih belum berjaya? Segala jenis saranan dan nasihat juga sudah anda amalkan. Kementerian Kesihatan sarankan amalkan makan hidangan suku-suku separuh, sudah. Ada yang suruh bersenam tiga kali seminggu, pun sudah cuba. Jadi apa masalah sebenarnya berat badan tidak turun-turun juga ini?

Ramai yang tidak perasan dengan hanya mengambil kira apa yang diminum turut menjadi satu punca mengapa berat badan tidak turun. Walau menjaga pemakanan tetapi tidak minuman sudah tentu berat badan yang diidamkan tidak akan tercapai.

Menurut pakar nutrisi Karen Ansel, minuman yang diambil adalah perkara pertama anda perlu lihat bila anda sedang cuba mengurangkan pengambilan gula dan turunkan berat badan.

Ansel berkata minuman adalah sumber terbesar penambahan gula dalam darah kita. Ianya tidak langsung mempunyai nutrisi baik untuk tubuh.

“Secara purata, 13 peratus kalori tambahan seseorang itu diperolehi daripada gula yang jumlah sepatutnya adalah hanya 10 peratus,” katanya.

Kajian juga mendapati mengambil minuman tinggi kandungan gulanya seperti minuman dalam tin, minuman 3 in 1 dan susu pekat juga boleh menyebabkan penambahan berat badan dan berisiko mendapat Diabetis tahap 2.

Susah hendak percaya bukan? Mengambil kira apa yang anda minum saja boleh menyebabkan risiko tersebut.

“Bila anda minum sesuatu, badan anda tidak dapat ‘mengecam’ kalori sama seperti makanan yang anda makan. Otak anda tidak akan sedar yang anda baru saja minum Latte yang mengandungi 300 kalori. Tapi ia akan perasan bila anda makan ais krim yang mengandungi 300 kalori. Ia berbeza.”

Ansel menyarankan untuk anda baca nutrisi label pada pakej makanan untuk membantu hadkan pengambilan gula tambahan. Secara amnya, elakkan makanan dan minuman yang mengandungi lebih lapan gram dalams setiap hidangan. Kebiasaannya minuman di dalam tin mengandungi lebih 35 gram setiap hidangan.